Showing posts with label Bekerja dari rumah. Show all posts
Showing posts with label Bekerja dari rumah. Show all posts

Wednesday, 29 October 2014

Cuti masak

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Google


Assalammualaikum. Alhamdulillah, masih meneruskan penulisan entri mengikut target yang telah ditetapkan. Perasaan sangat seronok apabila hari ini saya bercuti daripada memasak. Semua ini terjadi apabila anak saya yang kecil bertanya saya hari ini hari apa. Saya menjawab hari ini hari Rabu. Matanya terus bersinar dan bekata yang dia mahu pergi ke pasar malam selepas ke kelas mengaji.

Tanggungjawab sebagai wahm tidak akan terlepas daripada kerja memasak. Rasa puas di hati kerana dapat menyediakan menu yang sihat kepada keluarga. Menjadi rutin harian saya pada waktu petang mengambil anak-anak dari sekolah dan menghantar mereka ke kelas mengaji sebelum bertolak pulang ke rumah. Kedudukan sekolah dan kelas mengaji berdekatan tetapi agak jauh dari rumah. Berhampiran kelas mengaji terdapat pasar malam yang dijalankan pada setiap hari Rabu. 



Biasanya kalau ke pasar malam, saya hanya membeli sedikit makanan seperti kuih-muih dan buah-buahan sahaja kerana saya sudah pun memasak di rumah.Tetapi hari ini dengan persetujuan semua, laksa Pulau Pinag menjadi menu pilihan untuk makan malam hari ini. Pastinya kuih-muih dan buah-buahan kegemaran keluarga juga akan dibeli sebagai pelengkap hidangan.

Walupun bercuti, kerja dirumah yang lain tetap perlu diselesaikan. Masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk memasak saya isikan dengan mencari idea bagi penulisan entri baru. Sambil itu buku diari disemak dan saya meneliti jadual sepanjang minggu ini. Semoga segala yang telah dirancang berjalan dengan lancar. Amin.


"Ada dua kenikmatan yang membuat kebanyakan manusia tertipu iaitu nikmat sihat dan waktu lapang."
(Hadis riwayat Bukhari)


Tuesday, 28 October 2014

Pentingnya buku diari


Teks: Azlina Ahmad
Foto: Google


Assalammualaikum. Alhamdulillah. Pagi yang sungguh damai. Cahaya matahari bersinar terang melancarkan lagi aktiviti membasuh pakaian hari ini. Selama hampir seminggu bunyi mesin dan ketukan menemani sepanjang hari. Rumah jiran sebelah yang berganti tuan sedang diubahsuai. Sebagai jiran itulah antara ragam yang harus dihadapi. Maklumlah adat berkongsi dinding rumah.

Bekerja di rumah sama sahaja seperti bekerja di pejabat. Saya sudah bersiap diawal pagi sama seperti bekerja dahulu. Bezanya saya berpakaian lebih santai dan tidak perlu berkejar-kejar ke pejabat. Saya juga bekerja mengikut matlamat yang ditetapkan diri sendiri. Apa yang penting saya dapat menjaga keluarga dan melihat anak-anak membesar di depan mata. Masa yang ada diperuntukan untuk membaca dan mempelajari ilmu baru sambil melakukan kerja rumah.


Walaupun bekerja dari rumah, saya harus menyelesaikan tugasan dan matlamat harian yang telah ditetapkan. Sudah menjadi amalan semasa bekerja dahulu untuk saya mencatat segala tugas di dalam buku diari. Ianya terbawa-bawa hingga kini. Saya lebih selesa mencatat didalam buku diari walaupun kini terdapat pelbagai aplikasi online sepertinya. 

Semua maklumat berkenaan wahm, kursus, persekolahan anak, dan lain-lain aktiviti dikumpulkan. Maklumat dicatat mengikut tarikh dan waktu bagi memastikan jadual bulanan teratur, tiada aktiviti dan kerja yang tertinggal dan masa yang ada dapat digunakan sebaik mungkin.

Bermula minggu lepas sehingga pertengahan bulan November, jadual harian saya agak padat. Anak-anak sedang menghadapi peperiksaan PKSR 2. Selepas itu akan diadakan perjumpaan ibu bapa untuk mengambil keputusan peperiksaan. Di hujung minggu saya mendapat beberapa jemputan majlis perkahwinan dan majlis akikah. Jadual harian saya pula bakal dipenuhi dengan kelas terjemahan yang dijangkakan mengambil masa selama hampir setengah bulan.   

Semua maklumat dicatatkan secara terperinci di dalam buku diari dan disemak setiap hari. Kadang kala berlaku pertembungan aktiviti dan kerja pada hari yang sama. Jika itu berlaku, kebiasaanya saya akan memilih berdasarkan beberapa faktor iaitu keutamaan, masa dan lokasi. 

Pernah terjadi dalam satu hari saya menghadiri dua aktiviti yang berlainan. Temasya sukan sekolah anak yang diadakan di sebelah pagi dan kenduri perkahwinan di sebelah tengah hari. Dengan adanya catatan aktiviti dan kerja di dalam buku diari, persiapan bagi persalinan untuk kenduri kahwin telah pun disiapkan terlebih dahulu. Buku diari menjadikan perancangan aktiviti dan kerja menjadi lebih teratur dan mudah.

Semuanya telah tersusun dan saya hanya mampu untuk merancang. Selebihnya saya bertawakal kepada Allah meminta diberikan yang terbaik untuk saya. Amin.