Showing posts with label catatan harian. Show all posts
Showing posts with label catatan harian. Show all posts

Wednesday, 11 March 2015

Mesin basuh bajuku...

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Sendiri


Assalammualaikum. Alhamdulillah.


Usai solat Maghrib saya bersiap-siap menghidangkan juadah makan malam. Hand phone saya berbunyi. Nombor yang tertera tidak diketahui. Suara seorang lelaki Cina kedengaran. Inilah panggilan yang dinantikan sejak 2 minggu lepas selepas aduan kerosakan mesin basuh baju dibuat kepada pengeluar jenama. Siang tadi saya menelefon semula nombor khidmat pelanggan bertanyakan aduan yang dibuat.

Saya terus memintanya datang sekarang kerana suami juga ada di rumah. Maklumlah sekarang ni kena lebih berhati-hati. Dalam pada itu saya terfikir juga berapalah caj yang akan dikenakan kerana mesin basuh tu dah tamat jaminannya. Jam pula melewati 8.00 malam. Manalah tahu kena caj lebih masa pula.

Tak sampai 10 minit mesin basuh saya selesai diperiksa dan diganti alat yang rosak. Suka sangat sebab lepas ni tak payah nak kena memerah kain lagi. Bukan setakat sakit tangan, masa pun terbuang. Nak basuh sweater pun tak larat...berat. 

Caj yang dikenakan RM75 sahaja. Sangat berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan tentang kerosakan walaupun aduan yang dibuat lambat dibalas kerana didakwa hilang. Harap mesin basuh baju tak rosak lagi. Tak sabar nak guna esok. Syukur pada Allah. 


Displaying 20150226_105630.jpg

Demam...

Teks: Azlina Ahmad


Assalammualaikum. Alhamdulillah.


Memasuki minggu ketiga keadaan kesihatan masih belum pulih sepenuhnya. Sesekali sakit kepala datang. Batuk masih ada dan sudah reda sedikit.

Semuanya bermula bila secara tiba-tiba tekak saya terasa panas. Kepala mula berdenyut-denyut. Tanda-tanda awal demam dah muncul. Malam itu saya makan panadol sebagai langkah awal sebelum ke klinik esok pagi. Tapi demam tak kebah juga tidur pun tak lena.

Di klinik saya disahkan demam kerana tekak yang sangat merah. Doktor memberikan bekalan antibiotik, ubat demam dan ubat batuk selama 5 hari. 

Hari ketiga, demam saya tak kurang juga. Paling tak tahan bila tekak terasa amat perit. Nak telan air liur pun sakit. Tak pernah saya sakit tekak seteruk ini.

Nampak macam ubat doktor tak memberikan kesan. Jadi saya usahakan cara tradisional dengan minum air kelapa muda. Air kelapa muda dikatakan boleh meredakan panas badan. 

Malam itu sakit tekak dan demam saya hilang. Syukur pada Allah. 

Tuesday, 10 February 2015

Think positive

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Google


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Bingkas bangun pagi ni. Suasana riuh sekejap hilang bila hanya saya yang tinggal dirumah. Pagi ni kakak ada aktiviti rumah sukan. Kemudian sambung untuk unit beruniform pula. Seharian kakak akan berada di sekolah.

Pandang baju kotor sebakul terus saya ke mesin basuh. Teringat semalam saya terpaksa memerah baju yang dibasuh kerana 'mode spin' rosak. Terpandang pula kepala paip yang juga tercabut semalam dan saya terlupa bagi tahu suami untuk betulkan.

Pujuk hati sendiri saya nekad buat basuhan manual. Hampir satu jam aktiviti basuhan manual berjalan. Bersambung pula aktiviti paling mencabar 'memerah'. Agak lelah tapi hati saya puas apabila semua sudah disidai. Sambil itu mata mendongak ke langit mencari sinaran matahari pagi yang tak berapa nampak. Harapnya keringlah baju hari ini.

Sebelum sarapan saya membasuh ayam untuk direbus. Cadangnya hari ini nak buat bubur nasi ayam. Kacang tanah, ikan bilis, telur masin, lobak masin dah siap dibeli semalam petang. Beras 1 1/2 pot pun dinaikkan atas dapur gas. 

Tak sampai 5 minit gas dapur habis. Periksa tong gas 'spare' pun tak ada. Tarik nafas dalam-dalam simpan ayam dalam freezer. Beras toskan je. Kesimpulannya pakai tong gas kedai je hari ni. Buka laptop tulis entry. Inilah salah satu hikmahnya. 


Image result for gambar think positive

Saturday, 17 January 2015

Roti telur simple

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Sendiri


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Selepas solat subuh saya bergolek-golek kejap atas katil. Hari minggu kena ambil mood sikit nak bangun. Kepala ligat fikir nak sarapan apa hari ni. Semalam 'shopping di Giant ada beli sebuku roti Gardenia. Selongkar dapur jumpa telur ayam je. Sosej lupa pulak nak beli. Akhirnaya buat roti telur simple jelah. Walaupun simple tapi rasa tetap terbaik. Hehehe...angkat bakul sendiri.

Bahan - bahan:

3 biji telur ayam
6 keping roti Gardenia 
Serbuk lada sulah
Bawang besar (dipotong dadu halus)
Cili merah (dipotong dadu halus). Jika ada daun kuchai/sup/bawang lagi sedap.

Cara - cara:

  1. Pecahkan telur dalam mangkuk. 
  2. Letak sedikit serbuk lada sulah. 
  3. Pukul telur dan serbuk lada sulah sehingga sebati.
  4. Masukkan bawang besar dan cili merah, kacau lagi. 
  5. Panaskan kuali dan masukkan sedikit butter. 
  6. Rendam roti dalam mangkuk tadi seketika. Biar telur terserap dalam roti. Pastikan bawang dan cili lekat diatas permukaan roti.
  7. Goreng dalam kuali berisi butter. 
  8. Terbalikkan roti bagi memastikan permukaan kedua-dua belah roti masak. 
  9. Angkat dan siap dihidang.

Displaying 20150118_082714_resized.jpg


Senang sangat kan. Sesuai untuk waktu-waktu kecemasan begini.

Thursday, 8 January 2015

Permintaan...

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Sendiri


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Pagi yang sejuk. Hujan renyai-renyai sejak turun lebat malam tadi.

"Mama kakak nak makan mushroom soup tau esok pagi" permintaan kakak malam tadi.


Displaying 20150108_083021_resized.jpg




Wednesday, 17 December 2014

Penat tapi...

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Sendiri



Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Cuaca pagi ini mendung. Cucur pisang dan air milo panas sudah disiapkan sebagai menu sarapan. Sesudah bersiap saya mengejutkan kakak dan adik untuk mandi. Adik bangun dan bertanya "kita hendak kemana?". Mungkin kerana mengantuk adik lupa walaupun sudah diingatkan semasa solat subuh tadi supaya bangun awal kerana kami perlu menghantar borang permohonan persekolahan kakak.

Setelah bersarapan kami bertiga dengan penuh semangat menaiki kereta yang di parkir di hadapan rumah. Bunyi deruman kereta kedengaran tetapi enjin kereta tidak dapat dihidupkan. "Alamak! kenapa pula dengan kereta ni". "Takkan baru seminggu tak dipandu bateri 'kong'". Terus saya telefon suami dan menghantar gambar skrin papan pemuka kereta. Maklumlah saya hanya tahu bawa kereta sahaja yang lain faham-faham sajalah. Nampaknya program hari ini ditangguh ke sebelah petang.



Tengah hari suami saya balik sebentar untuk menghantar keretanya sebelum masuk kerja semula dengan menaiki kereta yang lain. Saya bersama kakak dan adik terus menuju ke sekolah pilihan pertama dan mendapatkan tandatangan pengetua. Kemudian kami bergerak ke PPD Gombak di Selayang Mall. Borang permohonan  dihantar  dikaunter dan disemak namun tidak diterima kerana saya tidak membawa salinan dokumen yang diperlukan. Erm.. saya tidak diberitahu pun tentang keperluan salinan dokumen itu semasa mengambil borang dahulu. Nasib baik layanan kakitangan PPD Gombak sangat mesra dan pantas. Tak jadi saya nak marah hehe...

Kami berpatah balik ke rumah dan mengumpulkan dokumen yang diminta. Setelah disemak ada 3 dokumen perlu di fotostat. Tekad saya apa pun terjadi dengan izin Allah, saya mesti selesaikan urusan ini hari ini juga. Saya memujuk kakak dan adik untuk bersabar kerana mereka sudah kepenatan. Ditambah pula dengan semangat berkobar-kobar pagi tadi yang tiba-tiba terpadam. Dari ground floor dan lg floor Selayang Mall sehingga ke 7 Eleven di luar bangunan mesin fotostat dicari namun tiada. Kakak dan adik agak kurang setuju dengan cara saya yang masuk ke beberapa kedai lain bertanya tentang mesin fotostat. Belum cuba belum tahu.Bagi saya yang  penting kita harus mencuba. Saya bertawakal lalu masuk ke Court Mammoth pula, iaitu kedai yang terakhir dalam deretan rumah kedai di situ. Alhamdulillah mesin fotostat ada dan kakitangannya sudi membantu. Terima kasih atas pertolongan yang diberi. Hanya Allah dapat membalasnya.

Kami ke PPD Gombak semula. Alhamdullah kali ini borang permohonan kami diterima. Selewat-lewatnya dalam masa 14 hari keputusan permohonan akan diketahui. Penat tapi lega dan gembira kerana misi hari ini berjaya diselesaikan. Untuk kakak dan adik saya belanja "Big Apple" dan "Hot & Roll" sebagai upah atas kesabaran. Susah dan senang yang kami lalui tadi diharap dapat menjadi satu contoh kepada mereka. Bak kata pepatah "Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ketepian, besakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian".






Wednesday, 3 December 2014

Seminar peluang perniagaan barangan China & Vietnam

Teks: Azlina Ahmad


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Seawal jam 7 pagi saya keluar dari rumah, memandu menggunakan lebuh raya Latar dan lebuh raya Guthrie ke Shah Alam. Perjalanan sangat lancar disepanjang lebuh raya. Sampai dipersimpangan Giant Shah Alam sahaja keadaan jalan agak sesak disebabkan oleh lampu isyarat. Bagaimanapun kehadiran anggota polis trafik membantu melancarkan pergerakan kenderaan. 

Jam 8.30 pagi saya sudah tiba di parkir bangunan SUK Selangor, Shah Alam. Lega rasa dihati kerana dapat datang sebelum "Seminar Peluang Perniagaan Memborong Barangan China & Vietnam" bermula. Seminar dijangka berlangsung dari 9 pagi hingga ke 5 petang. Pada sebelah pagi seminar adalah berkaitan dengan aktiviti memborong barangan di China dan di sebelah petang pula memborong barangan di Vietnam. Seminar ini percuma dan adalah siri ke-4 dan terakhir bagi tahun 2014.

Seminar bermula agak lewat. Jadual seminar bertukar dimana para peserta dijemput untuk bersarapan dahulu. Setelah itu seminar memborong barangan di China bermula. Pelbagai tips tentang memborong barangan di China diberikan oleh penceramah daripada jenis barangan yang boleh diborong, tempat-tempat memborong sehingga kepada cara penghantaran pulang barangan yang diborong.

Selepas rehat untuk makan tengah hari dan solat Zohor, seminar bersambung untuk memborong barangan di Vietnam pula. Tips disampaikan hampir sama seperti sesi waktu pagi, namun yang membezakan antara kedua-dua negara adalah faktor perbezaan bahasa, mata wang dan budaya.

Secara asasnya cara  memborong barangan di China dan Vietnam adalah sama. Namun bagi yang baru pertama kali ingin memborong di China dan Vietnam sebaik-baiknya menggunakan khidmat agensi pelancongan yang berkaliber. Setelah memperolehi pengalaman, bolehlah pergi memborong sendiri nanti. Bagi yang berminat mengetahui program berkaitan keusahawanan boleh gunakan carian google "usahawan selangor"

Sunday, 19 October 2014

Kerja di rumah lebih mudah

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Google




Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Semalam siang cuaca agak mendung jadi saya tidak membasuh baju. Pagi ini cuaca masih mendung disebabkan hujan lebat malam semalam. Saya termenung memikirkan bagaimana dengan dua buah bakul baju yang berlonggok ini.

Nak tak nak saya terpaksa juga membasuh, jika tidak tak ada ruanglah untuk saya menyidai nanti. Sementara menunggu basuhan mesin automatik siap, saya meneruskan penulisan entri untuk blog ini. Maklumlah kerja di rumah juga memerlukan penjadualan masa yang betul supaya kerja yang ada dapat dibereskan.

Mesin basuh automatik berbunyi menandakan basuhan baju telah siap. Saya menggantung baju untuk dijemur di belakang balkoni rumah. Ruang yang agak terhad memang kadangkala membuatkan saya pening kepala. Mana nak disidai pakaian agar cepat kering.




Sedang saya mengatur gantungan baju, saya terpandang ke penjuru balkoni. Kotak segiempat tepat setinggi peti sejuk satu pintu menarik perhatian. Ya, itulah mesin pengering baju yang sekian lama saya tidak gunakan. Mesin itu saya dapat sebagai hadiah membeli sebuah apartment oleh pemaju perumahan lama dahulu.

Semasa tinggal di apartment dulu, mesin pengering baju ini kerap juga saya gunakan. Hari ini saya memerlukan kembali khidmat mesin pengering baju ini. Sedar atau tidak banyak sebenarnya peralatan elektrik yang digunakan di rumah telah memudahkan suri rumah menjalankan kerja. Walaupun tanpa khidmat 'bibik sebenar', 'bibik elektrik' dirumah membolehkan suri rumah melakukan pelbagai kerja dengan mudah dan cepat.



Pengalaman pertama kali anak berbelanja

Teks: Azlina Ahmad


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Kelmarin, anak sulung saya yang saya panggil 'kakak' telah menyertai rombongan sekolah ke perpustakaan Raja Tun Uda dan Taman Tema Air Wet World Shah Alam. Rombongan terdiri daripada pelajar tahun enam sempena tamat menduduki peperiksaan UPSR dan UPSRA.

Inilah pertama kali saya melepaskan kakak keluar tanpa saya dan suami menemani. Dua pasang persalinan pakaian telah saya siapkan di dalam beg yang kakak akan bawa. Saya juga telah menempah apam 'polkadot' untuk kakak makan bersama rakan-rakannya. 

Pagi itu sebelum keluar, suami saya membekalkan kakak dengan duit belanja sebanyak RM 70.00. Saya berpesan supaya duit itu digunakan untuk makan dan apa sahaja yang kakak perlukan. Suami saya menghantar  anak-anak ke sekolah sebelum dia ke tempat kerja. Dalam hati saya berdoa agar segalanya berjalan dengan lancar dan selamat.

Lewat petang rombongan sekolah kakak tiba. Keriangan jelas terpancar di wajah kakak. Dalam perjalanan pulang kakak tidak putus-putus bercerita tentang aktiviti yang dilakukan sepanjang hari. 

Sampai dirumah kakak mengeluarkan cenderahati yang dibeli. Rasa sungguh terharu kerana kakak telah membelikan saya dan suami 'key chain' dan adik keropok ringan yang diketahui menjadi kegemaran adik.

Kakak bercerita bagaimana dia berbelanja dengan berhemah kerana khuatir duit belanja yang diberi tidak cukup. Apa yang sangat mencuit hati kami apabila kakak meminta diskaun semasa membeli cenderahati. Saya memberitahu kakak yang tidak semua kedai boleh memberi diskaun. Apa pun inilah pengalaman yang sangat berharga untuk kakak. Semoga kakak akan lebih yakin dalam menjalani kehidupan seharian.