Sunday, 21 December 2014

Cameron Highlands kami datang...Perjalanan pergi

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Google & sendiri


Assalammualikum. Alhamdulillah.

Cameron Highlands kami datang lagi! Tak sabar rasanya walaupun dah 3 kali kami ke sana. Teringat akan udara segar dan suasana tenang di sana. Memang sesuai untuk berehat. 

Lebih kurang jam 6 petang kami bertolak. Perasaan sedikit cuak kerana ini kali pertama kami ke sana pada waktu malam. Oleh kerana suami yakin memandu di waktu malam maka saya menurut sahaja. Selepas maghrib kami berhenti di R&R Tapah. Segala urusan diselesaikan secepat mungkin. Kalau boleh kami tak mahu sampai terlalu lewat.

Lebih kurang jam 8.30 malam kami sampai di tol Simpang Pulai. Inilah jalan yang biasa kami ikuti jika hendak ke Cameron Highlands. Untuk ke Cameron Highlands boleh juga melalui Tapah. Apa yang saya tahu jalan Simpang Pulai lebih besar berbanding Tapah. Dari tol  kami membelok ke kanan dan membelok ke kanan sekali lagi apabila sampai di lampu isyarat pertama. 


Bermulalah pendakian kami ke Cameron Highlands. Terdapat pemeriksaan keselamatan dilakukan sebelum kami dibenarkan meneruskan perjalanan. Keadaan jalan agak gelap kerana tiada lampu jalan. Amat berbeza sekali pemandangan jalan pada waktu malam. Apa lagi kami terus guna khidmat 'google map' sebagai penunjuk arah. Perjalanan dijangka mengambil masa 1 jam 1/2.

Jalan ke Cameron Highlands macam ular kena palu. Bagi yang tak biasa boleh muntah dibuatnya.  Hampir 10 malam kami sampai di simpang tiga dan membelok ke kanan menuju ke Kg Raja. Keadaan sedikit bekabus. Sepanjang jalan kelihatan beberapa kebun bunga yang terang kerana dipasang lampu. Sungguh cantik.  

Displaying 20141209_214811_resized.jpg
Pemandangan kebun diterangi cahaya lampu 
Kami akhirnya tiba di rumah istirahat berhampiran Strawberry Park. Keluar dari kereta kami terus angkut beg dan mendaftar masuk. Tak tahan sebab cuaca malam diluar sangat sejuk. Sebelum tidur kami 'supper' dulu dengan air milo panas dan roti. Tak sabar tunggu sang suria muncul pagi esok untuk merasai bahangnya dan melakukan aktiviti seterusnya.

Wednesday, 17 December 2014

Penat tapi...

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Sendiri



Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Cuaca pagi ini mendung. Cucur pisang dan air milo panas sudah disiapkan sebagai menu sarapan. Sesudah bersiap saya mengejutkan kakak dan adik untuk mandi. Adik bangun dan bertanya "kita hendak kemana?". Mungkin kerana mengantuk adik lupa walaupun sudah diingatkan semasa solat subuh tadi supaya bangun awal kerana kami perlu menghantar borang permohonan persekolahan kakak.

Setelah bersarapan kami bertiga dengan penuh semangat menaiki kereta yang di parkir di hadapan rumah. Bunyi deruman kereta kedengaran tetapi enjin kereta tidak dapat dihidupkan. "Alamak! kenapa pula dengan kereta ni". "Takkan baru seminggu tak dipandu bateri 'kong'". Terus saya telefon suami dan menghantar gambar skrin papan pemuka kereta. Maklumlah saya hanya tahu bawa kereta sahaja yang lain faham-faham sajalah. Nampaknya program hari ini ditangguh ke sebelah petang.



Tengah hari suami saya balik sebentar untuk menghantar keretanya sebelum masuk kerja semula dengan menaiki kereta yang lain. Saya bersama kakak dan adik terus menuju ke sekolah pilihan pertama dan mendapatkan tandatangan pengetua. Kemudian kami bergerak ke PPD Gombak di Selayang Mall. Borang permohonan  dihantar  dikaunter dan disemak namun tidak diterima kerana saya tidak membawa salinan dokumen yang diperlukan. Erm.. saya tidak diberitahu pun tentang keperluan salinan dokumen itu semasa mengambil borang dahulu. Nasib baik layanan kakitangan PPD Gombak sangat mesra dan pantas. Tak jadi saya nak marah hehe...

Kami berpatah balik ke rumah dan mengumpulkan dokumen yang diminta. Setelah disemak ada 3 dokumen perlu di fotostat. Tekad saya apa pun terjadi dengan izin Allah, saya mesti selesaikan urusan ini hari ini juga. Saya memujuk kakak dan adik untuk bersabar kerana mereka sudah kepenatan. Ditambah pula dengan semangat berkobar-kobar pagi tadi yang tiba-tiba terpadam. Dari ground floor dan lg floor Selayang Mall sehingga ke 7 Eleven di luar bangunan mesin fotostat dicari namun tiada. Kakak dan adik agak kurang setuju dengan cara saya yang masuk ke beberapa kedai lain bertanya tentang mesin fotostat. Belum cuba belum tahu.Bagi saya yang  penting kita harus mencuba. Saya bertawakal lalu masuk ke Court Mammoth pula, iaitu kedai yang terakhir dalam deretan rumah kedai di situ. Alhamdulillah mesin fotostat ada dan kakitangannya sudi membantu. Terima kasih atas pertolongan yang diberi. Hanya Allah dapat membalasnya.

Kami ke PPD Gombak semula. Alhamdullah kali ini borang permohonan kami diterima. Selewat-lewatnya dalam masa 14 hari keputusan permohonan akan diketahui. Penat tapi lega dan gembira kerana misi hari ini berjaya diselesaikan. Untuk kakak dan adik saya belanja "Big Apple" dan "Hot & Roll" sebagai upah atas kesabaran. Susah dan senang yang kami lalui tadi diharap dapat menjadi satu contoh kepada mereka. Bak kata pepatah "Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ketepian, besakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian".






Dari sekolah rendah ke sekolah menengah

Teks: Azlina Ahmad


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Semalam hampir seharian masa saya habiskan dengan menelefon dan mencari maklumat tentang sekolah-sekolah sekitar Selayang dan Rawang. Tahun depan "kakak" (anak sulung saya) akan menginjak ke alam sekolah menengah. Cepat betul masa berlalu. 

Memandangkan rumah saya terletak diantara Selayang dan Rawang, saya dalam dilema untuk memilih sekolah yang sesuai. Urusan permohonan ke sekolah menengah bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah pun dihantar dan hanya menanti keputusan. Bagaimanapun permohonan di Selangor masih belum diputuskan.

Kakak dan "adik" (anak kedua saya berumur 8 tahun) bersekolah di sekolah rendah islam swasta yang merupakan sekolah integrasi KBSR dan Kafa di Kampung Batu Muda Kuala Lumpur. Waktu persekolahan bermula jam 7.30 pagi sehingg 5.00 petang.  Pada waktu pagi suami saya akan menghantar mereka dan saya pula akan mengambil mereka untuk ke kelas mengaji sebelum pulang. Sekolah mereka terletak lebih kurang 17 km dari rumah. 

Saya dan suami berhasrat untuk memasukkan kakak ke Kelas aliran agama (Kaa) bagi meneruskan pendidikan islam yang telah diperolehi semasa di sekolah rendah dan mengekalkan adik disekolah yang sama.  Pening kepala sekejap dibuatnya. Pelbagai faktor seperti lokasi dan waktu persekolahan perlu diambil kira disebabkan kelas Kaa harian sekitar Selayang dan Rawang tidak menyediakan kemudahan asrama. 

Semua sekolah telah saya hubungi. Hinggalah sebuah sekolah yang saya hubungi meminta saya menghantar permohonan secepat mungkin kerana sesi orientasi bagi pelajar baru akan bermula pada bila-bila masa. Ya Allah baru saya tersedar yang sesi persekolahan 2015 akan bermula 2 minggu sahaja lagi. Persiapan sekolah tiada satu pun yang dibeli lagi. Pakaian seragam kakak semestinya di tukar baru memandangkan sebelum ini pakaian seragamnya berwarna ungu, manakala stokin dan kasut berwarna hitam.

Setelah dilakar diatas kertas 'route'  yang akan saya dan suami lalui untuk menghantar dan mengambil mereka di sekolah, akhirnya saya dan suami nekad memilih sebuah sekolah menengah tanpa kelas Kaa sebagai pilihan pertama. Sekolah ini jaraknya lebih kurang 7 km dari rumah. Walaupun berat hati, faktor lokasi menjadi sebab utama pilihan dibuat. 

Dalam perancangan, suami seperti biasa akan menghantar adik ke sekolah di sebelah pagi. Saya pula akan menghantar kakak ke sekolah pada waktu tengah hari. Disebelah petang saya akan mengambil adik untuk ke kelas mengaji sebelum mengambil kakak disekolah pula. 

Pilihan kedua adalah sebuah sekolah yang mempunyai kelas Kaa. Bagaimanapun ianya terletak agak jauh iaitu 9 km dari rumah. Sesi persekolahan waktu pagi agak tidak sesuai dan praktikal memandangkan saya perlu menghantar kakak ke sekolah di waktu pagi dan mengambil kakak pulang di sebelah tengah hari. Di sebelah petang sekali lagi saya perlu keluar untuk mengambil adik pula. Silap haribulan kos untuk minyak kereta makin bertambah.

Esok saya kena keluar pagi-pagi ke sekolah mendapatkan tandatangan pengetua sebelum ke PPD Gombak. Harapnya esok semua dapat diselesaikan. 

Friday, 5 December 2014

HEARTS, ITBM.

Teks: Azlina Ahmad


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Masa berlalu sangat pantas. Genap satu minggu sudah selesai saya menduduki peperiksaan kursus penterjemahan am intensif di ITBM. Tugasan yang belum siap masih berbaki satu sahaja lagi. Sembilan hari kursus berjalan saya menggagahkan diri merempuh kesesakan jalan raya pada waktu pagi. Sebaik kelas tamat di waktu petang pula, saya bergegas pulang untuk menukar "uniform" (tanggungjawab daripada seorang pelajar kepada seorang suri rumah). Banyak pengalaman berharga saya perolehi sepanjang mengikuti kursus ini.

Seperti biasa hari pertama kursus mesti ada sesi suai kenal. Lebih daripada separuh peserta kursus adalah dibawah program "HEARTS" seperti saya juga. Program "HEARTS" (Housewives Enhancement And Reactivated Talent Scheme) adalah anjuran Pembangunan Sumber Manusia Berhad. Program ini menyasarkan suri rumah berpendidikan minimum diploma. Suri rumah yang berminat mengetahui tentang program ini boleh merujuk laman sesawang www.hrdf.com.my.

Harapan saya untuk terus berjaya dimasa hadapan dalam bidang yang baru saya terokai. Semoga tiap langkah yang dilalui dipermudahkan dan diberkati-Nya. Amin. 


“Barangsiapa yang memilih jalan yang ada padanya ilmu maka akan Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga.” 
(Riwayat Muslim)




Sumber: http://ustazfathulbari.wordpress.com

Wednesday, 3 December 2014

Seminar peluang perniagaan barangan China & Vietnam

Teks: Azlina Ahmad


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Seawal jam 7 pagi saya keluar dari rumah, memandu menggunakan lebuh raya Latar dan lebuh raya Guthrie ke Shah Alam. Perjalanan sangat lancar disepanjang lebuh raya. Sampai dipersimpangan Giant Shah Alam sahaja keadaan jalan agak sesak disebabkan oleh lampu isyarat. Bagaimanapun kehadiran anggota polis trafik membantu melancarkan pergerakan kenderaan. 

Jam 8.30 pagi saya sudah tiba di parkir bangunan SUK Selangor, Shah Alam. Lega rasa dihati kerana dapat datang sebelum "Seminar Peluang Perniagaan Memborong Barangan China & Vietnam" bermula. Seminar dijangka berlangsung dari 9 pagi hingga ke 5 petang. Pada sebelah pagi seminar adalah berkaitan dengan aktiviti memborong barangan di China dan di sebelah petang pula memborong barangan di Vietnam. Seminar ini percuma dan adalah siri ke-4 dan terakhir bagi tahun 2014.

Seminar bermula agak lewat. Jadual seminar bertukar dimana para peserta dijemput untuk bersarapan dahulu. Setelah itu seminar memborong barangan di China bermula. Pelbagai tips tentang memborong barangan di China diberikan oleh penceramah daripada jenis barangan yang boleh diborong, tempat-tempat memborong sehingga kepada cara penghantaran pulang barangan yang diborong.

Selepas rehat untuk makan tengah hari dan solat Zohor, seminar bersambung untuk memborong barangan di Vietnam pula. Tips disampaikan hampir sama seperti sesi waktu pagi, namun yang membezakan antara kedua-dua negara adalah faktor perbezaan bahasa, mata wang dan budaya.

Secara asasnya cara  memborong barangan di China dan Vietnam adalah sama. Namun bagi yang baru pertama kali ingin memborong di China dan Vietnam sebaik-baiknya menggunakan khidmat agensi pelancongan yang berkaliber. Setelah memperolehi pengalaman, bolehlah pergi memborong sendiri nanti. Bagi yang berminat mengetahui program berkaitan keusahawanan boleh gunakan carian google "usahawan selangor"

Friday, 14 November 2014

Syukur menjadi sebahagian dari ABDR

Teks: Azlina Ahmad
Foto: akademibekerjadirumah.blogspot.com


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Sudah hampir seminggu saya tidak menulis entri baru. Kekangan masa dek kerana menghadiri kursus juga sudah cukup membuatkan saya lepas tangan dari menulis. Sebagai seorang yang baru bejinak-jinak dengan dunia blogger ini, kerap kali fikiran saya menjadi buntu. Kadang kala saya mempunyai idea tetapi tidak dapat diterjemah kedalam bentuk tulisan. Lebih parah apabila saya tidak mempunyai idea langsung. 

Memang saya akui saya tidak suka menulis. Tetapi saya sangat suka membaca. Semenjak kecil lagi saya sememangnya seorang pembaca tegar suratkhabar yang dilanggan keluarga setiap hari. Tidak cukup itu saya juga akan membeli majalah sebagai bacaan tambahan. Minat membaca itu berterusan hingga kini. Pelbagai isu dan maklumat yang diperolehi membuatkan otak saya ini ligat berfikir. Namun saya menjadi pegun untuk berkongsi dalam bentuk penulisan. 

Secara tiba-tiba tengah hari tadi guru online ABDR saya bertanya tentang tugasan wajib menyelesaikan 44 entri untuk semua ahli dibawah seliaannya. Tersentak saya sekejap kerana saya masih jauh ketinggalan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan itu. 

Saya berasa kagum melihat kebolehan rakan-rakan yang mudah mencoretkan idea. Dalam kesempatan yang ada, saya bertanya untuk mendapatkan tips bagaimana untuk menulis, Tampak sungguh kesungguhan rakan-rakan ABDR yang ingin membantu dengan memberi bermacam-macam tips dan idea. Banyak lagi yang perlu saya belajar.

Syukur ke hadrat Allah kerana kebuntuan yang saya alami dapat dileraikan dengan bantuan rakan-rakan di ABDR. Saya tak keseorangan sebenarnya kerana perkongsian perasaan yang dirasai sebagai wahm di ABDR membuatkan saya menjadi bersemangat kembali. Selama ini pun saya banyak dibantu oleh guru online saya Wani MN. Terima kasih semua. InsyaAllah saya pasti akan menamatkan juga sasaran 44 entri penulisan yang telah ditetapkan. Amin.



Bergabung dengan kami!

Sunday, 2 November 2014

Merapatkan ikatan ukhwah

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Google


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Jam menunjukkan sudah pun 2.30 petang. Setelah bertungkus lumus melakukan rutin wahm akhirnya saya dapat meluangkan sedikit masa untuk catatan entri hari ini.

Semalam saya telah menghadiri kenduri akikah anak seorang rakan. Tempat dan masa telah pun dipersetujui untuk berkonvoi bersama dengan beberapa rakan yang lain. Kebetulan di kawasan perumahan juga diadakan mesyuarat persatuan penduduk. 

Mengenangkan yang semenjak lahir sehingga sudah berusia satu tahun saya masih belum bersua muka lagi dengan anak rakan saya ini, hati saya meronta-ronta untuk berjumpanya kali ini. Awal-awal lagi saya sudah mencatat majlis akikah ini di dalam buku diari saya untuk perancangan selanjutnya.

Perjalanan yang mengambil masa hampir dua jam akhirnya sampai ke destinasi. Sejak bergelar wahm inilah pertama kali saya dapat berkumpul dengan rakan-rakan baik. Walaupun sudah beberapa kali merancang untuk berkumpul, namun kesibukan mengatasi segalanya. 

Duduk semeja sambil menikmati hidangan tengah hari yang sungguh enak, bermacam-macam perkara yang kami bualkan. Antara soalan cepu emas yang ditanya kepada saya ialah "seronok tak duduk rumah?". 

Ikatan ukhwah yang terjalin selama beberapa tahun tetap tersimpul rapi walaupun ada di antara kami yang telah  membawa haluan masing-masing. Sempat lagi kami merakamkan foto-foto kenangan untuk di tatap apabila rindu kelak. Kami juga telah merancang untuk berkumpul lagi dalam masa yang terdekat memandangkan hari ini pun ada rakan yang tidak dapat turut serta. Semoga apa yang dirancang kali ini akan membuahkan hasil.

" Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat" 
(Surah Al-Hujurat: 10)

Masa berlalu begitu pantas. Tidak puas rasanya berbual, namun rengekan anak saya yang mahu pulang akhirnya dituruti. Tidak ketinggalan sedikit ole-ole menjadi bekalan untuk dibawa pulang sebagai kenangan.