Friday, 14 November 2014

Syukur menjadi sebahagian dari ABDR

Teks: Azlina Ahmad
Foto: akademibekerjadirumah.blogspot.com


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Sudah hampir seminggu saya tidak menulis entri baru. Kekangan masa dek kerana menghadiri kursus juga sudah cukup membuatkan saya lepas tangan dari menulis. Sebagai seorang yang baru bejinak-jinak dengan dunia blogger ini, kerap kali fikiran saya menjadi buntu. Kadang kala saya mempunyai idea tetapi tidak dapat diterjemah kedalam bentuk tulisan. Lebih parah apabila saya tidak mempunyai idea langsung. 

Memang saya akui saya tidak suka menulis. Tetapi saya sangat suka membaca. Semenjak kecil lagi saya sememangnya seorang pembaca tegar suratkhabar yang dilanggan keluarga setiap hari. Tidak cukup itu saya juga akan membeli majalah sebagai bacaan tambahan. Minat membaca itu berterusan hingga kini. Pelbagai isu dan maklumat yang diperolehi membuatkan otak saya ini ligat berfikir. Namun saya menjadi pegun untuk berkongsi dalam bentuk penulisan. 

Secara tiba-tiba tengah hari tadi guru online ABDR saya bertanya tentang tugasan wajib menyelesaikan 44 entri untuk semua ahli dibawah seliaannya. Tersentak saya sekejap kerana saya masih jauh ketinggalan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan itu. 

Saya berasa kagum melihat kebolehan rakan-rakan yang mudah mencoretkan idea. Dalam kesempatan yang ada, saya bertanya untuk mendapatkan tips bagaimana untuk menulis, Tampak sungguh kesungguhan rakan-rakan ABDR yang ingin membantu dengan memberi bermacam-macam tips dan idea. Banyak lagi yang perlu saya belajar.

Syukur ke hadrat Allah kerana kebuntuan yang saya alami dapat dileraikan dengan bantuan rakan-rakan di ABDR. Saya tak keseorangan sebenarnya kerana perkongsian perasaan yang dirasai sebagai wahm di ABDR membuatkan saya menjadi bersemangat kembali. Selama ini pun saya banyak dibantu oleh guru online saya Wani MN. Terima kasih semua. InsyaAllah saya pasti akan menamatkan juga sasaran 44 entri penulisan yang telah ditetapkan. Amin.



Bergabung dengan kami!

Sunday, 2 November 2014

Merapatkan ikatan ukhwah

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Google


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Jam menunjukkan sudah pun 2.30 petang. Setelah bertungkus lumus melakukan rutin wahm akhirnya saya dapat meluangkan sedikit masa untuk catatan entri hari ini.

Semalam saya telah menghadiri kenduri akikah anak seorang rakan. Tempat dan masa telah pun dipersetujui untuk berkonvoi bersama dengan beberapa rakan yang lain. Kebetulan di kawasan perumahan juga diadakan mesyuarat persatuan penduduk. 

Mengenangkan yang semenjak lahir sehingga sudah berusia satu tahun saya masih belum bersua muka lagi dengan anak rakan saya ini, hati saya meronta-ronta untuk berjumpanya kali ini. Awal-awal lagi saya sudah mencatat majlis akikah ini di dalam buku diari saya untuk perancangan selanjutnya.

Perjalanan yang mengambil masa hampir dua jam akhirnya sampai ke destinasi. Sejak bergelar wahm inilah pertama kali saya dapat berkumpul dengan rakan-rakan baik. Walaupun sudah beberapa kali merancang untuk berkumpul, namun kesibukan mengatasi segalanya. 

Duduk semeja sambil menikmati hidangan tengah hari yang sungguh enak, bermacam-macam perkara yang kami bualkan. Antara soalan cepu emas yang ditanya kepada saya ialah "seronok tak duduk rumah?". 

Ikatan ukhwah yang terjalin selama beberapa tahun tetap tersimpul rapi walaupun ada di antara kami yang telah  membawa haluan masing-masing. Sempat lagi kami merakamkan foto-foto kenangan untuk di tatap apabila rindu kelak. Kami juga telah merancang untuk berkumpul lagi dalam masa yang terdekat memandangkan hari ini pun ada rakan yang tidak dapat turut serta. Semoga apa yang dirancang kali ini akan membuahkan hasil.

" Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat" 
(Surah Al-Hujurat: 10)

Masa berlalu begitu pantas. Tidak puas rasanya berbual, namun rengekan anak saya yang mahu pulang akhirnya dituruti. Tidak ketinggalan sedikit ole-ole menjadi bekalan untuk dibawa pulang sebagai kenangan. 


Wednesday, 29 October 2014

Cuti masak

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Google


Assalammualaikum. Alhamdulillah, masih meneruskan penulisan entri mengikut target yang telah ditetapkan. Perasaan sangat seronok apabila hari ini saya bercuti daripada memasak. Semua ini terjadi apabila anak saya yang kecil bertanya saya hari ini hari apa. Saya menjawab hari ini hari Rabu. Matanya terus bersinar dan bekata yang dia mahu pergi ke pasar malam selepas ke kelas mengaji.

Tanggungjawab sebagai wahm tidak akan terlepas daripada kerja memasak. Rasa puas di hati kerana dapat menyediakan menu yang sihat kepada keluarga. Menjadi rutin harian saya pada waktu petang mengambil anak-anak dari sekolah dan menghantar mereka ke kelas mengaji sebelum bertolak pulang ke rumah. Kedudukan sekolah dan kelas mengaji berdekatan tetapi agak jauh dari rumah. Berhampiran kelas mengaji terdapat pasar malam yang dijalankan pada setiap hari Rabu. 



Biasanya kalau ke pasar malam, saya hanya membeli sedikit makanan seperti kuih-muih dan buah-buahan sahaja kerana saya sudah pun memasak di rumah.Tetapi hari ini dengan persetujuan semua, laksa Pulau Pinag menjadi menu pilihan untuk makan malam hari ini. Pastinya kuih-muih dan buah-buahan kegemaran keluarga juga akan dibeli sebagai pelengkap hidangan.

Walupun bercuti, kerja dirumah yang lain tetap perlu diselesaikan. Masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk memasak saya isikan dengan mencari idea bagi penulisan entri baru. Sambil itu buku diari disemak dan saya meneliti jadual sepanjang minggu ini. Semoga segala yang telah dirancang berjalan dengan lancar. Amin.


"Ada dua kenikmatan yang membuat kebanyakan manusia tertipu iaitu nikmat sihat dan waktu lapang."
(Hadis riwayat Bukhari)


Pengalaman bisnes tanpa modal

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Google


Assalammmualaikum. Alhamdulillah.


Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Sembilan per sepuluh rezeki datangnya dari perniagaan."
(Hadis riwayat Bukhari)

Hari ini setelah selesai membuat satu entri, saya menerima pula tugasan dari guru online saya. Tajuk yang diberi membuatkan saya buntu sebentar. Puas mengingat kembali pengalaman bisnes tanpa modal jika ada. Maklumlah kebiasaanya modal adalah perkara asas penting yang diperlukan untuk memulakan perrniagaan. 

Lewat petang setelah mengambil anak-anak pulang dari sekolah, tiba-tiba saya teringat akan pengalaman bisnes tanpa modal saya yang juga pengalaman pertama saya berniaga sebenarnya. 

Ketika itu saya didalam darjah lima.  Saya menolong secara tidak langsung ibu saudara yang dipanggil "Mak Ngah" berniaga nasi lemak. Mak Ngah hanya membuat nasi lemak apabila terdapat pesanan dari rakan-rakan pejabat suaminya. Saya pula mengambil pesanan daripada rakan-rakan di sekolah. Sebaik sahaja loceng waktu rehat berbunyi, saya akan menunggu rakan-rakan yang membuat pesanan ditempat yang dijanjikan iaitu dibelakang bangunan perpustakaan behampiran kantin sekolah. 

Nasi lemak Mak Ngah sangat enak ditambah pula dengan sambal ikan bilisnya yang pada saya tiada tolok bandingnya hingga kini. Bayangkan di hari raya pun saya masih mencari sambal nasi lemak Mak Ngah untuk dimakan dengan nasi impit tika bertandang kerumahnya.



Daripada hasil jualan nasi lemak itu, saya mendapat upah sama ada sebungkus nasi lemak atau wang berjumlah satu ringgit. Pada masa itu, upah yang saya perolehi bagi saya sangat lumayan kerana duit belanja harian sekolah yang saya perolehi hanyalah sebanyak lima puluh sen sahaja. Kebiasaanya wang yang saya perolehi akan saya kumpul untuk membeli kek mini strawberry kegemaran saya.

Kenangan lama ini membuatkan saya tersenyum sendiri kerana rupa-rupanya sejak dari kecil secara tidak langsung saya telah pun menceburi perniagaan "ala-ala dropship". Kini salah satu impian saya untuk menjana pendapatan dari rumah adalah dengan cara dropship yang sangat mudah dan tidak memerlukan saya mengeluarkan modal bagi menjalankan perniagaan.




Tuesday, 28 October 2014

Pentingnya buku diari


Teks: Azlina Ahmad
Foto: Google


Assalammualaikum. Alhamdulillah. Pagi yang sungguh damai. Cahaya matahari bersinar terang melancarkan lagi aktiviti membasuh pakaian hari ini. Selama hampir seminggu bunyi mesin dan ketukan menemani sepanjang hari. Rumah jiran sebelah yang berganti tuan sedang diubahsuai. Sebagai jiran itulah antara ragam yang harus dihadapi. Maklumlah adat berkongsi dinding rumah.

Bekerja di rumah sama sahaja seperti bekerja di pejabat. Saya sudah bersiap diawal pagi sama seperti bekerja dahulu. Bezanya saya berpakaian lebih santai dan tidak perlu berkejar-kejar ke pejabat. Saya juga bekerja mengikut matlamat yang ditetapkan diri sendiri. Apa yang penting saya dapat menjaga keluarga dan melihat anak-anak membesar di depan mata. Masa yang ada diperuntukan untuk membaca dan mempelajari ilmu baru sambil melakukan kerja rumah.


Walaupun bekerja dari rumah, saya harus menyelesaikan tugasan dan matlamat harian yang telah ditetapkan. Sudah menjadi amalan semasa bekerja dahulu untuk saya mencatat segala tugas di dalam buku diari. Ianya terbawa-bawa hingga kini. Saya lebih selesa mencatat didalam buku diari walaupun kini terdapat pelbagai aplikasi online sepertinya. 

Semua maklumat berkenaan wahm, kursus, persekolahan anak, dan lain-lain aktiviti dikumpulkan. Maklumat dicatat mengikut tarikh dan waktu bagi memastikan jadual bulanan teratur, tiada aktiviti dan kerja yang tertinggal dan masa yang ada dapat digunakan sebaik mungkin.

Bermula minggu lepas sehingga pertengahan bulan November, jadual harian saya agak padat. Anak-anak sedang menghadapi peperiksaan PKSR 2. Selepas itu akan diadakan perjumpaan ibu bapa untuk mengambil keputusan peperiksaan. Di hujung minggu saya mendapat beberapa jemputan majlis perkahwinan dan majlis akikah. Jadual harian saya pula bakal dipenuhi dengan kelas terjemahan yang dijangkakan mengambil masa selama hampir setengah bulan.   

Semua maklumat dicatatkan secara terperinci di dalam buku diari dan disemak setiap hari. Kadang kala berlaku pertembungan aktiviti dan kerja pada hari yang sama. Jika itu berlaku, kebiasaanya saya akan memilih berdasarkan beberapa faktor iaitu keutamaan, masa dan lokasi. 

Pernah terjadi dalam satu hari saya menghadiri dua aktiviti yang berlainan. Temasya sukan sekolah anak yang diadakan di sebelah pagi dan kenduri perkahwinan di sebelah tengah hari. Dengan adanya catatan aktiviti dan kerja di dalam buku diari, persiapan bagi persalinan untuk kenduri kahwin telah pun disiapkan terlebih dahulu. Buku diari menjadikan perancangan aktiviti dan kerja menjadi lebih teratur dan mudah.

Semuanya telah tersusun dan saya hanya mampu untuk merancang. Selebihnya saya bertawakal kepada Allah meminta diberikan yang terbaik untuk saya. Amin. 















Thursday, 23 October 2014

Rancang kewangan guna sampul wang

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Google


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Pagi kelmarin saya menerima sms memaklumkan yang insurans dan cukai jalan bagi kereta saya akan tamat tempoh pada awal November ini. Sedar tak sedar sudah satu tahun usia kereta saya. Walaupun kecil tapi sangat berjasa dan saya sangat selesa memandunya.



Alhamdulillah walaupun bergelar wahm saya masih boleh membayarnya menggunakan wang sendiri. Semasa bekerja dahulu saya sudah terbiasa dengan disiplin ketat ketika berbelanja. 

Setiap bulan saya akan membahagikan gaji saya kepada simpanan tetap, perbelajaan peribadi dan sampul wang. Simpanan tetap adalah simpanan yang tidak boleh diusik. Kebiasaanya melalui pembacaan jumlah yang disarankan ialah sebanyak tiga puluh peratus daripada gaji bersih.

Perbelanjaan peribadi meliputi bayaran bil telefon bimbit dan keperluan sendiri yang lain. Di dalam perbelanjaan peribadi saya masih menyimpan sedikit melalui "permainan kutu". Manakala sampul wang ialah penyimpanan wang secara tunai ke dalam beberapa buah sampul.


Saya membahagikan sampul wang kepada empat memandangkan terdapat empat perbelanjaan yang saya perlukan. Sampul wang pertama adalah untuk insurans dan cukai jalan kenderaan. Sampul pertama ini sangat penting memandangkan jumlah yang diperlukan agak besar.  Sampul wang kedua untuk perayaan seperti hari raya kerana perbelanjaan di musim perayaan pastinya akan meningkat daripada biasa.. Sampul wang ketiga untuk kecemasan. Sampul wang keempat bagi tujuan  melancong. 

Berapa banyak sampul dan berapa nilai setiap sampul bergantung kepada keperluan masing-masing.Teruskan menyimpan wang di dalam sampul sebaik sahaja simpanan telah digunakan dan baki dibiarkan jika ada. Bak kata pepatah sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Lakukan dengan konsisten dan disiplin. Insya Allah ianya dapat membantu.

Sunday, 19 October 2014

Kerja di rumah lebih mudah

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Google




Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Semalam siang cuaca agak mendung jadi saya tidak membasuh baju. Pagi ini cuaca masih mendung disebabkan hujan lebat malam semalam. Saya termenung memikirkan bagaimana dengan dua buah bakul baju yang berlonggok ini.

Nak tak nak saya terpaksa juga membasuh, jika tidak tak ada ruanglah untuk saya menyidai nanti. Sementara menunggu basuhan mesin automatik siap, saya meneruskan penulisan entri untuk blog ini. Maklumlah kerja di rumah juga memerlukan penjadualan masa yang betul supaya kerja yang ada dapat dibereskan.

Mesin basuh automatik berbunyi menandakan basuhan baju telah siap. Saya menggantung baju untuk dijemur di belakang balkoni rumah. Ruang yang agak terhad memang kadangkala membuatkan saya pening kepala. Mana nak disidai pakaian agar cepat kering.




Sedang saya mengatur gantungan baju, saya terpandang ke penjuru balkoni. Kotak segiempat tepat setinggi peti sejuk satu pintu menarik perhatian. Ya, itulah mesin pengering baju yang sekian lama saya tidak gunakan. Mesin itu saya dapat sebagai hadiah membeli sebuah apartment oleh pemaju perumahan lama dahulu.

Semasa tinggal di apartment dulu, mesin pengering baju ini kerap juga saya gunakan. Hari ini saya memerlukan kembali khidmat mesin pengering baju ini. Sedar atau tidak banyak sebenarnya peralatan elektrik yang digunakan di rumah telah memudahkan suri rumah menjalankan kerja. Walaupun tanpa khidmat 'bibik sebenar', 'bibik elektrik' dirumah membolehkan suri rumah melakukan pelbagai kerja dengan mudah dan cepat.