Friday 14 November 2014

Syukur menjadi sebahagian dari ABDR

Teks: Azlina Ahmad
Foto: akademibekerjadirumah.blogspot.com


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Sudah hampir seminggu saya tidak menulis entri baru. Kekangan masa dek kerana menghadiri kursus juga sudah cukup membuatkan saya lepas tangan dari menulis. Sebagai seorang yang baru bejinak-jinak dengan dunia blogger ini, kerap kali fikiran saya menjadi buntu. Kadang kala saya mempunyai idea tetapi tidak dapat diterjemah kedalam bentuk tulisan. Lebih parah apabila saya tidak mempunyai idea langsung. 

Memang saya akui saya tidak suka menulis. Tetapi saya sangat suka membaca. Semenjak kecil lagi saya sememangnya seorang pembaca tegar suratkhabar yang dilanggan keluarga setiap hari. Tidak cukup itu saya juga akan membeli majalah sebagai bacaan tambahan. Minat membaca itu berterusan hingga kini. Pelbagai isu dan maklumat yang diperolehi membuatkan otak saya ini ligat berfikir. Namun saya menjadi pegun untuk berkongsi dalam bentuk penulisan. 

Secara tiba-tiba tengah hari tadi guru online ABDR saya bertanya tentang tugasan wajib menyelesaikan 44 entri untuk semua ahli dibawah seliaannya. Tersentak saya sekejap kerana saya masih jauh ketinggalan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan itu. 

Saya berasa kagum melihat kebolehan rakan-rakan yang mudah mencoretkan idea. Dalam kesempatan yang ada, saya bertanya untuk mendapatkan tips bagaimana untuk menulis, Tampak sungguh kesungguhan rakan-rakan ABDR yang ingin membantu dengan memberi bermacam-macam tips dan idea. Banyak lagi yang perlu saya belajar.

Syukur ke hadrat Allah kerana kebuntuan yang saya alami dapat dileraikan dengan bantuan rakan-rakan di ABDR. Saya tak keseorangan sebenarnya kerana perkongsian perasaan yang dirasai sebagai wahm di ABDR membuatkan saya menjadi bersemangat kembali. Selama ini pun saya banyak dibantu oleh guru online saya Wani MN. Terima kasih semua. InsyaAllah saya pasti akan menamatkan juga sasaran 44 entri penulisan yang telah ditetapkan. Amin.



Bergabung dengan kami!

Sunday 2 November 2014

Merapatkan ikatan ukhwah

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Google


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Jam menunjukkan sudah pun 2.30 petang. Setelah bertungkus lumus melakukan rutin wahm akhirnya saya dapat meluangkan sedikit masa untuk catatan entri hari ini.

Semalam saya telah menghadiri kenduri akikah anak seorang rakan. Tempat dan masa telah pun dipersetujui untuk berkonvoi bersama dengan beberapa rakan yang lain. Kebetulan di kawasan perumahan juga diadakan mesyuarat persatuan penduduk. 

Mengenangkan yang semenjak lahir sehingga sudah berusia satu tahun saya masih belum bersua muka lagi dengan anak rakan saya ini, hati saya meronta-ronta untuk berjumpanya kali ini. Awal-awal lagi saya sudah mencatat majlis akikah ini di dalam buku diari saya untuk perancangan selanjutnya.

Perjalanan yang mengambil masa hampir dua jam akhirnya sampai ke destinasi. Sejak bergelar wahm inilah pertama kali saya dapat berkumpul dengan rakan-rakan baik. Walaupun sudah beberapa kali merancang untuk berkumpul, namun kesibukan mengatasi segalanya. 

Duduk semeja sambil menikmati hidangan tengah hari yang sungguh enak, bermacam-macam perkara yang kami bualkan. Antara soalan cepu emas yang ditanya kepada saya ialah "seronok tak duduk rumah?". 

Ikatan ukhwah yang terjalin selama beberapa tahun tetap tersimpul rapi walaupun ada di antara kami yang telah  membawa haluan masing-masing. Sempat lagi kami merakamkan foto-foto kenangan untuk di tatap apabila rindu kelak. Kami juga telah merancang untuk berkumpul lagi dalam masa yang terdekat memandangkan hari ini pun ada rakan yang tidak dapat turut serta. Semoga apa yang dirancang kali ini akan membuahkan hasil.

" Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat" 
(Surah Al-Hujurat: 10)

Masa berlalu begitu pantas. Tidak puas rasanya berbual, namun rengekan anak saya yang mahu pulang akhirnya dituruti. Tidak ketinggalan sedikit ole-ole menjadi bekalan untuk dibawa pulang sebagai kenangan.