Friday 26 December 2014

Cameron Highlands kami datang...Taman Agroteknologi MARDI

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Sendiri


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Selepas ke Time Tunnel kami menuju ke Taman Agroteknologi Mardi Cameron Highlands. Ini juga menjadi destinasi wajib dikunjungi jika kami ke Cameron Highlands. Taman ini adalah sebuah stesen penyelidikan agroteknologi (teknologi yang berkaitan dengan pembangunan pertanian). 


Displaying 20141210_142412_resized.jpg
Landskap taman
Displaying 20141224_115312_resized_1.jpg
Tiket masuk

Selepas memarkir kereta, kami menuju ke kaunter tiket. Bayaran bagi dewasa RM3 dan kanak-kanak RM1.50. Taman ini dibuka setiap hari kecuali hari isnin. 

Disini terdapat nurseri bagi tanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan. Kami berasa seronok setiap kali datang kesini kerana dapat melihat pelbagai jenis hasil tanaman yang sangat 'sihat' dan cantik. Kali ini tidak banyak tanaman yang membuahkan hasil berbanding dengan lawatan kami dahulu. Kata petugas disini sesetengah tanaman berada diluar musim.


Displaying 20130814_130039 (3).jpg


Displaying 20130814_130225 (2).jpg
Tomato
Cuaca yang sejuk menggamit kami untuk mendaki sebuah bukit kecil dilitupi tanaman pokok teh. Suasana diatas bukit sungguh nyaman. Kami berehat diatas pangkin yang disediakan. Walaupun bukit kecil, mengah juga nak mendakinya. Dari sini kami dapat melihat dengan jelas pemandangan hijau hutan simpan Cameron Highlands dan puncak Arabella iaitu kawasan apartmen diatas bukit berhampiran. 

Sewaktu menuruni bukit kami terpandang sebuah rumah Inggeris (BiGDee Beauty Cottage). Kami disapa oleh pemiliknya dan dimaklumkan BiGDee Beauty Cottage menawarkan perkhidmatan pakej urutan dan spa untuk pengunjung memanjakan diri.

Setelah turun kami menjengah sangkar burung merpati (sangkar kosong) dan sangkar arnab (comel sungguh arnab disini). Separuh taman ini kami sudah jajahi, kaki dah terasa lenguh. Kami berehat di kafetaria berhampiran mengalas perut dengan roti telur. Terdapat kemudahan surau bagi pengunjung menunaikan solat.


Hari beransur petang. Kami singgah di kedai menjual cenderamata. Barangan yang dijual disini adalah hasil daripada produk MARDI sendiri dan produk luar. Pusing-pusing dalam kedai ternampak longgokkan tomato untuk dijual hasil tanaman dari nurseri sayur-sayuran. 

Sebelum pulang kami singgah di landskap taman MARDI. Oh ya, disini ada 2 unit rumah Inggeris yang boleh disewa. Suasana dalamannya membuatkan kami rasa macam duduk dekat overseas pula.

Cuaca sejuk membuatkan perut kerap minta diisi. Dalam pejalanan pulang kami singgah menapau goreng pisang panas sebagai kudapan petang. 


Displaying 2014-12-26 12.49.27_resized.png
Cantiknya orkid ni!

Displaying 20130814_123759 (2).jpg
Pelbagai jenis bunga untuk dijual








Displaying 20130814_142919 (3).jpg
Boleh disewa


Thursday 25 December 2014

Cameron Highlands kami datang...Time Tunnel


Teks: Azlina Ahmad
Foto: Sendiri


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Destinasi kedua Time Tunnel (dalam bahasa melayu terowong masa la ye). Baru pertama kali berkunjung ke Time Tunnel yang terletak di antara Kea Farm dan Brinchang. Ianya adalah bangunan tingkat bawah deretan kedai yang menjual pelbagai produk dan cenderahati. Bayaran masuk dewasa RM5 dan kanak-kanak RM3.



Displaying 2014-12-24 17.44.56_resized.png
Tepi tangga menuju ke tingkat bawah 


Displaying 20141224_115242_resized.jpg
Tiket masuk
Time Tunnel bolehlah dikatakan sebagai muzium yang mempamerkan pelbagai koleksi barangan lama hingga yang terkini. Terdapat koleksi mainan kanak-kanak , sejarah Malaysia (gambar bekas perdana menteri Malaysia & hari kemerdekaan), sejarah Cameron Highlands,  dan bermacam lagi.

Terdapat almari kaca yang mempamerkan koleksi kole/cawan pelbagai jenama seperti Nescafe, Sunquick, Milo, Horlicks dan lain-lain. Seronok pula bila teringat masa kecil dahulu, surirumah berebut-rebut membeli produk yang menawarkan kole/cawan  dan kadang kala pinggan mangkuk percuma untuk dijadikan koleksi (sampai sekarang pun ada lagi kot 'trend' ini...hehe). 

Pelbagai koleksi gambar lama mengimbau kenangan zaman dahulu. Di satu sudut dipamerkan juga transformasi pembungkusan beberapa produk seperti ubat gigi, minuman dalam tin dan botol  dan bermacam lagi. 


Displaying 2014-12-24 17.23.44_resized.png
Antara barangan lama yang dipamerkan
Terleka seketika kami dibuatnya ketika membelek 1001 macam barangan yang terdapat disini. Setiap ceruk disini sarat dengan pelbagai barang hinggakan sampai ada yang bergantungan di atas kepala. Bolehlah dikatakan berbaloi mengunjungi Time Tunnel yang memberikan pelbagai maklumat langsung dan tidak langsung berkaitan kehidupan masyarakat Malaysia dahulu. Jom kita ke destinasi seterusnya selepas ini.

Displaying pic20141224173325.jpg
Piano lama dan  lesung tangan menumbuk padi

* Maaf dipinta kerana beberapa keping gambar yang diambil ketika kunjungan telah terpadam dari kamera secara tidak sengaja menyebabkan koleksi peribadi saya amat terhad untuk dikongsi bersama.

Tuesday 23 December 2014

Cameron Highlands kami datang...Ladang teh Boh Sg. Palas

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Google & sendiri


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Pagi yang dingin. Nak mandi pun 'bercinta' walaupun ada pemanas air. Sarapan ringkas teh o panas dan roti. Sang suria mula menjelma. Selepas bersarapan kami bergerak menuju ke ladang teh Boh Sg Palas. Destinasi wajib yang akan kami kunjungi setiap kali ke Cameron Highlands.

Displaying 20141211_081145_resized.jpg
Pemandangan waktu pagi dari rumah istirahat
Sekali lagi khidmat 'google map' digunakan. Dek kerana tak ingat akan nama sebenar ladang teh Boh Sg. Palas kami tersalah 'google'. Akibatnya kami tersesat hingga ke Kampung Taman Sedia iaitu sebuah perkampungan melayu yang pertama kali kami jumpai. Kami akan datang semula untuk mengetahui ada apa lagi yang menarik disini.

Jalan masuk ke ladang teh Boh Sg. Palas

Displaying 20141210_112651_resized.jpg
Pemandangan ladang teh yang menghijau












Perjalanana diteruskan ke ladang teh Boh Sg Palas. Ladang teh ini sangat terkenal kerana menjadi lokasi pengambaran beberapa drama melayu seperti 'ombak rindu'. Keadaan jalan agak sempit. Jadi kenalah pandu dengan perlahan dan berhati-hati. Kadang kala jika berselisih dengan kenderaan lain kenalah bertolak ansur.

Perjalanan lebih kurang 10 minit disajikan dengan pemandangan ladang teh yang menghijau. Sebelum sampai ke parkir kenderaan, kami melalui rumah pekerja ladang. Terdapat juga sebuah sekolah jenis kebangsaan tamil. Dari parkir kami memilih untuk mendaki trek tangga yang disediakan. Pengunjung boleh juga mendaki bukit menggunakan laluan bertar yang digunakan juga oleh kenderaan untuk ke atas bukit.  

Parkir kenderaan


Trek tangga










Tiba diatas, terdapat sebuah kilang memproses teh, kedai menjual pelbagai produk teh dan restoran yang menghidangkan pelbagai juadah bagi pengunjung berehat melepaskan lelah setelah mendaki dan berjalan-jalan di kawasan sekitar. Harga makanan disini agak mahal. Sebungkus nasi lemak biasa berharga RM 4 (sambalnya sedap), sepotong strawberry cheese cake RM8.50. Terdapat juga sebuah mini teater yang menayangkan video tentang sejarah ladang teh Boh ini.


            Kilang memproses teh


Pelantar (restoran ladang teh Boh)

Displaying 20141210_122642_resized.jpg
Strawberry cheese cake dan Boh ice tea orchard splash

Displaying 20141210_123958_resized.jpg
Pemandangan ladang teh dari atas pelantar

Setelah puas menjamu selera dan menjamu mata, kami pulang untuk ke destinasi seterusnya. Keadaan jalan keluar daripada ladang teh Boh Sg. Palas ke jalan besar agak sibuk apabila beberapa kali berselisih dengan kenderaan masuk. Mungkin apabila waktu hampir tengah hari kawasan ini mula didatangi para pelancong. Apapun nantikan destinasi kami seterusnya selepas ini.

Displaying 20141222_190123_resized.jpg
'Shopping' produk teh

Sunday 21 December 2014

Cameron Highlands kami datang...Perjalanan pergi

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Google & sendiri


Assalammualikum. Alhamdulillah.

Cameron Highlands kami datang lagi! Tak sabar rasanya walaupun dah 3 kali kami ke sana. Teringat akan udara segar dan suasana tenang di sana. Memang sesuai untuk berehat. 

Lebih kurang jam 6 petang kami bertolak. Perasaan sedikit cuak kerana ini kali pertama kami ke sana pada waktu malam. Oleh kerana suami yakin memandu di waktu malam maka saya menurut sahaja. Selepas maghrib kami berhenti di R&R Tapah. Segala urusan diselesaikan secepat mungkin. Kalau boleh kami tak mahu sampai terlalu lewat.

Lebih kurang jam 8.30 malam kami sampai di tol Simpang Pulai. Inilah jalan yang biasa kami ikuti jika hendak ke Cameron Highlands. Untuk ke Cameron Highlands boleh juga melalui Tapah. Apa yang saya tahu jalan Simpang Pulai lebih besar berbanding Tapah. Dari tol  kami membelok ke kanan dan membelok ke kanan sekali lagi apabila sampai di lampu isyarat pertama. 


Bermulalah pendakian kami ke Cameron Highlands. Terdapat pemeriksaan keselamatan dilakukan sebelum kami dibenarkan meneruskan perjalanan. Keadaan jalan agak gelap kerana tiada lampu jalan. Amat berbeza sekali pemandangan jalan pada waktu malam. Apa lagi kami terus guna khidmat 'google map' sebagai penunjuk arah. Perjalanan dijangka mengambil masa 1 jam 1/2.

Jalan ke Cameron Highlands macam ular kena palu. Bagi yang tak biasa boleh muntah dibuatnya.  Hampir 10 malam kami sampai di simpang tiga dan membelok ke kanan menuju ke Kg Raja. Keadaan sedikit bekabus. Sepanjang jalan kelihatan beberapa kebun bunga yang terang kerana dipasang lampu. Sungguh cantik.  

Displaying 20141209_214811_resized.jpg
Pemandangan kebun diterangi cahaya lampu 
Kami akhirnya tiba di rumah istirahat berhampiran Strawberry Park. Keluar dari kereta kami terus angkut beg dan mendaftar masuk. Tak tahan sebab cuaca malam diluar sangat sejuk. Sebelum tidur kami 'supper' dulu dengan air milo panas dan roti. Tak sabar tunggu sang suria muncul pagi esok untuk merasai bahangnya dan melakukan aktiviti seterusnya.

Wednesday 17 December 2014

Penat tapi...

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Sendiri



Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Cuaca pagi ini mendung. Cucur pisang dan air milo panas sudah disiapkan sebagai menu sarapan. Sesudah bersiap saya mengejutkan kakak dan adik untuk mandi. Adik bangun dan bertanya "kita hendak kemana?". Mungkin kerana mengantuk adik lupa walaupun sudah diingatkan semasa solat subuh tadi supaya bangun awal kerana kami perlu menghantar borang permohonan persekolahan kakak.

Setelah bersarapan kami bertiga dengan penuh semangat menaiki kereta yang di parkir di hadapan rumah. Bunyi deruman kereta kedengaran tetapi enjin kereta tidak dapat dihidupkan. "Alamak! kenapa pula dengan kereta ni". "Takkan baru seminggu tak dipandu bateri 'kong'". Terus saya telefon suami dan menghantar gambar skrin papan pemuka kereta. Maklumlah saya hanya tahu bawa kereta sahaja yang lain faham-faham sajalah. Nampaknya program hari ini ditangguh ke sebelah petang.



Tengah hari suami saya balik sebentar untuk menghantar keretanya sebelum masuk kerja semula dengan menaiki kereta yang lain. Saya bersama kakak dan adik terus menuju ke sekolah pilihan pertama dan mendapatkan tandatangan pengetua. Kemudian kami bergerak ke PPD Gombak di Selayang Mall. Borang permohonan  dihantar  dikaunter dan disemak namun tidak diterima kerana saya tidak membawa salinan dokumen yang diperlukan. Erm.. saya tidak diberitahu pun tentang keperluan salinan dokumen itu semasa mengambil borang dahulu. Nasib baik layanan kakitangan PPD Gombak sangat mesra dan pantas. Tak jadi saya nak marah hehe...

Kami berpatah balik ke rumah dan mengumpulkan dokumen yang diminta. Setelah disemak ada 3 dokumen perlu di fotostat. Tekad saya apa pun terjadi dengan izin Allah, saya mesti selesaikan urusan ini hari ini juga. Saya memujuk kakak dan adik untuk bersabar kerana mereka sudah kepenatan. Ditambah pula dengan semangat berkobar-kobar pagi tadi yang tiba-tiba terpadam. Dari ground floor dan lg floor Selayang Mall sehingga ke 7 Eleven di luar bangunan mesin fotostat dicari namun tiada. Kakak dan adik agak kurang setuju dengan cara saya yang masuk ke beberapa kedai lain bertanya tentang mesin fotostat. Belum cuba belum tahu.Bagi saya yang  penting kita harus mencuba. Saya bertawakal lalu masuk ke Court Mammoth pula, iaitu kedai yang terakhir dalam deretan rumah kedai di situ. Alhamdulillah mesin fotostat ada dan kakitangannya sudi membantu. Terima kasih atas pertolongan yang diberi. Hanya Allah dapat membalasnya.

Kami ke PPD Gombak semula. Alhamdullah kali ini borang permohonan kami diterima. Selewat-lewatnya dalam masa 14 hari keputusan permohonan akan diketahui. Penat tapi lega dan gembira kerana misi hari ini berjaya diselesaikan. Untuk kakak dan adik saya belanja "Big Apple" dan "Hot & Roll" sebagai upah atas kesabaran. Susah dan senang yang kami lalui tadi diharap dapat menjadi satu contoh kepada mereka. Bak kata pepatah "Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ketepian, besakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian".






Dari sekolah rendah ke sekolah menengah

Teks: Azlina Ahmad


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Semalam hampir seharian masa saya habiskan dengan menelefon dan mencari maklumat tentang sekolah-sekolah sekitar Selayang dan Rawang. Tahun depan "kakak" (anak sulung saya) akan menginjak ke alam sekolah menengah. Cepat betul masa berlalu. 

Memandangkan rumah saya terletak diantara Selayang dan Rawang, saya dalam dilema untuk memilih sekolah yang sesuai. Urusan permohonan ke sekolah menengah bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah pun dihantar dan hanya menanti keputusan. Bagaimanapun permohonan di Selangor masih belum diputuskan.

Kakak dan "adik" (anak kedua saya berumur 8 tahun) bersekolah di sekolah rendah islam swasta yang merupakan sekolah integrasi KBSR dan Kafa di Kampung Batu Muda Kuala Lumpur. Waktu persekolahan bermula jam 7.30 pagi sehingg 5.00 petang.  Pada waktu pagi suami saya akan menghantar mereka dan saya pula akan mengambil mereka untuk ke kelas mengaji sebelum pulang. Sekolah mereka terletak lebih kurang 17 km dari rumah. 

Saya dan suami berhasrat untuk memasukkan kakak ke Kelas aliran agama (Kaa) bagi meneruskan pendidikan islam yang telah diperolehi semasa di sekolah rendah dan mengekalkan adik disekolah yang sama.  Pening kepala sekejap dibuatnya. Pelbagai faktor seperti lokasi dan waktu persekolahan perlu diambil kira disebabkan kelas Kaa harian sekitar Selayang dan Rawang tidak menyediakan kemudahan asrama. 

Semua sekolah telah saya hubungi. Hinggalah sebuah sekolah yang saya hubungi meminta saya menghantar permohonan secepat mungkin kerana sesi orientasi bagi pelajar baru akan bermula pada bila-bila masa. Ya Allah baru saya tersedar yang sesi persekolahan 2015 akan bermula 2 minggu sahaja lagi. Persiapan sekolah tiada satu pun yang dibeli lagi. Pakaian seragam kakak semestinya di tukar baru memandangkan sebelum ini pakaian seragamnya berwarna ungu, manakala stokin dan kasut berwarna hitam.

Setelah dilakar diatas kertas 'route'  yang akan saya dan suami lalui untuk menghantar dan mengambil mereka di sekolah, akhirnya saya dan suami nekad memilih sebuah sekolah menengah tanpa kelas Kaa sebagai pilihan pertama. Sekolah ini jaraknya lebih kurang 7 km dari rumah. Walaupun berat hati, faktor lokasi menjadi sebab utama pilihan dibuat. 

Dalam perancangan, suami seperti biasa akan menghantar adik ke sekolah di sebelah pagi. Saya pula akan menghantar kakak ke sekolah pada waktu tengah hari. Disebelah petang saya akan mengambil adik untuk ke kelas mengaji sebelum mengambil kakak disekolah pula. 

Pilihan kedua adalah sebuah sekolah yang mempunyai kelas Kaa. Bagaimanapun ianya terletak agak jauh iaitu 9 km dari rumah. Sesi persekolahan waktu pagi agak tidak sesuai dan praktikal memandangkan saya perlu menghantar kakak ke sekolah di waktu pagi dan mengambil kakak pulang di sebelah tengah hari. Di sebelah petang sekali lagi saya perlu keluar untuk mengambil adik pula. Silap haribulan kos untuk minyak kereta makin bertambah.

Esok saya kena keluar pagi-pagi ke sekolah mendapatkan tandatangan pengetua sebelum ke PPD Gombak. Harapnya esok semua dapat diselesaikan. 

Friday 5 December 2014

HEARTS, ITBM.

Teks: Azlina Ahmad


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Masa berlalu sangat pantas. Genap satu minggu sudah selesai saya menduduki peperiksaan kursus penterjemahan am intensif di ITBM. Tugasan yang belum siap masih berbaki satu sahaja lagi. Sembilan hari kursus berjalan saya menggagahkan diri merempuh kesesakan jalan raya pada waktu pagi. Sebaik kelas tamat di waktu petang pula, saya bergegas pulang untuk menukar "uniform" (tanggungjawab daripada seorang pelajar kepada seorang suri rumah). Banyak pengalaman berharga saya perolehi sepanjang mengikuti kursus ini.

Seperti biasa hari pertama kursus mesti ada sesi suai kenal. Lebih daripada separuh peserta kursus adalah dibawah program "HEARTS" seperti saya juga. Program "HEARTS" (Housewives Enhancement And Reactivated Talent Scheme) adalah anjuran Pembangunan Sumber Manusia Berhad. Program ini menyasarkan suri rumah berpendidikan minimum diploma. Suri rumah yang berminat mengetahui tentang program ini boleh merujuk laman sesawang www.hrdf.com.my.

Harapan saya untuk terus berjaya dimasa hadapan dalam bidang yang baru saya terokai. Semoga tiap langkah yang dilalui dipermudahkan dan diberkati-Nya. Amin. 


“Barangsiapa yang memilih jalan yang ada padanya ilmu maka akan Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga.” 
(Riwayat Muslim)




Sumber: http://ustazfathulbari.wordpress.com

Wednesday 3 December 2014

Seminar peluang perniagaan barangan China & Vietnam

Teks: Azlina Ahmad


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Seawal jam 7 pagi saya keluar dari rumah, memandu menggunakan lebuh raya Latar dan lebuh raya Guthrie ke Shah Alam. Perjalanan sangat lancar disepanjang lebuh raya. Sampai dipersimpangan Giant Shah Alam sahaja keadaan jalan agak sesak disebabkan oleh lampu isyarat. Bagaimanapun kehadiran anggota polis trafik membantu melancarkan pergerakan kenderaan. 

Jam 8.30 pagi saya sudah tiba di parkir bangunan SUK Selangor, Shah Alam. Lega rasa dihati kerana dapat datang sebelum "Seminar Peluang Perniagaan Memborong Barangan China & Vietnam" bermula. Seminar dijangka berlangsung dari 9 pagi hingga ke 5 petang. Pada sebelah pagi seminar adalah berkaitan dengan aktiviti memborong barangan di China dan di sebelah petang pula memborong barangan di Vietnam. Seminar ini percuma dan adalah siri ke-4 dan terakhir bagi tahun 2014.

Seminar bermula agak lewat. Jadual seminar bertukar dimana para peserta dijemput untuk bersarapan dahulu. Setelah itu seminar memborong barangan di China bermula. Pelbagai tips tentang memborong barangan di China diberikan oleh penceramah daripada jenis barangan yang boleh diborong, tempat-tempat memborong sehingga kepada cara penghantaran pulang barangan yang diborong.

Selepas rehat untuk makan tengah hari dan solat Zohor, seminar bersambung untuk memborong barangan di Vietnam pula. Tips disampaikan hampir sama seperti sesi waktu pagi, namun yang membezakan antara kedua-dua negara adalah faktor perbezaan bahasa, mata wang dan budaya.

Secara asasnya cara  memborong barangan di China dan Vietnam adalah sama. Namun bagi yang baru pertama kali ingin memborong di China dan Vietnam sebaik-baiknya menggunakan khidmat agensi pelancongan yang berkaliber. Setelah memperolehi pengalaman, bolehlah pergi memborong sendiri nanti. Bagi yang berminat mengetahui program berkaitan keusahawanan boleh gunakan carian google "usahawan selangor"