Wednesday 17 December 2014

Dari sekolah rendah ke sekolah menengah

Teks: Azlina Ahmad


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Semalam hampir seharian masa saya habiskan dengan menelefon dan mencari maklumat tentang sekolah-sekolah sekitar Selayang dan Rawang. Tahun depan "kakak" (anak sulung saya) akan menginjak ke alam sekolah menengah. Cepat betul masa berlalu. 

Memandangkan rumah saya terletak diantara Selayang dan Rawang, saya dalam dilema untuk memilih sekolah yang sesuai. Urusan permohonan ke sekolah menengah bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah pun dihantar dan hanya menanti keputusan. Bagaimanapun permohonan di Selangor masih belum diputuskan.

Kakak dan "adik" (anak kedua saya berumur 8 tahun) bersekolah di sekolah rendah islam swasta yang merupakan sekolah integrasi KBSR dan Kafa di Kampung Batu Muda Kuala Lumpur. Waktu persekolahan bermula jam 7.30 pagi sehingg 5.00 petang.  Pada waktu pagi suami saya akan menghantar mereka dan saya pula akan mengambil mereka untuk ke kelas mengaji sebelum pulang. Sekolah mereka terletak lebih kurang 17 km dari rumah. 

Saya dan suami berhasrat untuk memasukkan kakak ke Kelas aliran agama (Kaa) bagi meneruskan pendidikan islam yang telah diperolehi semasa di sekolah rendah dan mengekalkan adik disekolah yang sama.  Pening kepala sekejap dibuatnya. Pelbagai faktor seperti lokasi dan waktu persekolahan perlu diambil kira disebabkan kelas Kaa harian sekitar Selayang dan Rawang tidak menyediakan kemudahan asrama. 

Semua sekolah telah saya hubungi. Hinggalah sebuah sekolah yang saya hubungi meminta saya menghantar permohonan secepat mungkin kerana sesi orientasi bagi pelajar baru akan bermula pada bila-bila masa. Ya Allah baru saya tersedar yang sesi persekolahan 2015 akan bermula 2 minggu sahaja lagi. Persiapan sekolah tiada satu pun yang dibeli lagi. Pakaian seragam kakak semestinya di tukar baru memandangkan sebelum ini pakaian seragamnya berwarna ungu, manakala stokin dan kasut berwarna hitam.

Setelah dilakar diatas kertas 'route'  yang akan saya dan suami lalui untuk menghantar dan mengambil mereka di sekolah, akhirnya saya dan suami nekad memilih sebuah sekolah menengah tanpa kelas Kaa sebagai pilihan pertama. Sekolah ini jaraknya lebih kurang 7 km dari rumah. Walaupun berat hati, faktor lokasi menjadi sebab utama pilihan dibuat. 

Dalam perancangan, suami seperti biasa akan menghantar adik ke sekolah di sebelah pagi. Saya pula akan menghantar kakak ke sekolah pada waktu tengah hari. Disebelah petang saya akan mengambil adik untuk ke kelas mengaji sebelum mengambil kakak disekolah pula. 

Pilihan kedua adalah sebuah sekolah yang mempunyai kelas Kaa. Bagaimanapun ianya terletak agak jauh iaitu 9 km dari rumah. Sesi persekolahan waktu pagi agak tidak sesuai dan praktikal memandangkan saya perlu menghantar kakak ke sekolah di waktu pagi dan mengambil kakak pulang di sebelah tengah hari. Di sebelah petang sekali lagi saya perlu keluar untuk mengambil adik pula. Silap haribulan kos untuk minyak kereta makin bertambah.

Esok saya kena keluar pagi-pagi ke sekolah mendapatkan tandatangan pengetua sebelum ke PPD Gombak. Harapnya esok semua dapat diselesaikan. 

No comments:

Post a Comment