Wednesday 17 December 2014

Penat tapi...

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Sendiri



Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Cuaca pagi ini mendung. Cucur pisang dan air milo panas sudah disiapkan sebagai menu sarapan. Sesudah bersiap saya mengejutkan kakak dan adik untuk mandi. Adik bangun dan bertanya "kita hendak kemana?". Mungkin kerana mengantuk adik lupa walaupun sudah diingatkan semasa solat subuh tadi supaya bangun awal kerana kami perlu menghantar borang permohonan persekolahan kakak.

Setelah bersarapan kami bertiga dengan penuh semangat menaiki kereta yang di parkir di hadapan rumah. Bunyi deruman kereta kedengaran tetapi enjin kereta tidak dapat dihidupkan. "Alamak! kenapa pula dengan kereta ni". "Takkan baru seminggu tak dipandu bateri 'kong'". Terus saya telefon suami dan menghantar gambar skrin papan pemuka kereta. Maklumlah saya hanya tahu bawa kereta sahaja yang lain faham-faham sajalah. Nampaknya program hari ini ditangguh ke sebelah petang.



Tengah hari suami saya balik sebentar untuk menghantar keretanya sebelum masuk kerja semula dengan menaiki kereta yang lain. Saya bersama kakak dan adik terus menuju ke sekolah pilihan pertama dan mendapatkan tandatangan pengetua. Kemudian kami bergerak ke PPD Gombak di Selayang Mall. Borang permohonan  dihantar  dikaunter dan disemak namun tidak diterima kerana saya tidak membawa salinan dokumen yang diperlukan. Erm.. saya tidak diberitahu pun tentang keperluan salinan dokumen itu semasa mengambil borang dahulu. Nasib baik layanan kakitangan PPD Gombak sangat mesra dan pantas. Tak jadi saya nak marah hehe...

Kami berpatah balik ke rumah dan mengumpulkan dokumen yang diminta. Setelah disemak ada 3 dokumen perlu di fotostat. Tekad saya apa pun terjadi dengan izin Allah, saya mesti selesaikan urusan ini hari ini juga. Saya memujuk kakak dan adik untuk bersabar kerana mereka sudah kepenatan. Ditambah pula dengan semangat berkobar-kobar pagi tadi yang tiba-tiba terpadam. Dari ground floor dan lg floor Selayang Mall sehingga ke 7 Eleven di luar bangunan mesin fotostat dicari namun tiada. Kakak dan adik agak kurang setuju dengan cara saya yang masuk ke beberapa kedai lain bertanya tentang mesin fotostat. Belum cuba belum tahu.Bagi saya yang  penting kita harus mencuba. Saya bertawakal lalu masuk ke Court Mammoth pula, iaitu kedai yang terakhir dalam deretan rumah kedai di situ. Alhamdulillah mesin fotostat ada dan kakitangannya sudi membantu. Terima kasih atas pertolongan yang diberi. Hanya Allah dapat membalasnya.

Kami ke PPD Gombak semula. Alhamdullah kali ini borang permohonan kami diterima. Selewat-lewatnya dalam masa 14 hari keputusan permohonan akan diketahui. Penat tapi lega dan gembira kerana misi hari ini berjaya diselesaikan. Untuk kakak dan adik saya belanja "Big Apple" dan "Hot & Roll" sebagai upah atas kesabaran. Susah dan senang yang kami lalui tadi diharap dapat menjadi satu contoh kepada mereka. Bak kata pepatah "Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ketepian, besakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian".






No comments:

Post a Comment