Sunday 2 November 2014

Merapatkan ikatan ukhwah

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Google


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Jam menunjukkan sudah pun 2.30 petang. Setelah bertungkus lumus melakukan rutin wahm akhirnya saya dapat meluangkan sedikit masa untuk catatan entri hari ini.

Semalam saya telah menghadiri kenduri akikah anak seorang rakan. Tempat dan masa telah pun dipersetujui untuk berkonvoi bersama dengan beberapa rakan yang lain. Kebetulan di kawasan perumahan juga diadakan mesyuarat persatuan penduduk. 

Mengenangkan yang semenjak lahir sehingga sudah berusia satu tahun saya masih belum bersua muka lagi dengan anak rakan saya ini, hati saya meronta-ronta untuk berjumpanya kali ini. Awal-awal lagi saya sudah mencatat majlis akikah ini di dalam buku diari saya untuk perancangan selanjutnya.

Perjalanan yang mengambil masa hampir dua jam akhirnya sampai ke destinasi. Sejak bergelar wahm inilah pertama kali saya dapat berkumpul dengan rakan-rakan baik. Walaupun sudah beberapa kali merancang untuk berkumpul, namun kesibukan mengatasi segalanya. 

Duduk semeja sambil menikmati hidangan tengah hari yang sungguh enak, bermacam-macam perkara yang kami bualkan. Antara soalan cepu emas yang ditanya kepada saya ialah "seronok tak duduk rumah?". 

Ikatan ukhwah yang terjalin selama beberapa tahun tetap tersimpul rapi walaupun ada di antara kami yang telah  membawa haluan masing-masing. Sempat lagi kami merakamkan foto-foto kenangan untuk di tatap apabila rindu kelak. Kami juga telah merancang untuk berkumpul lagi dalam masa yang terdekat memandangkan hari ini pun ada rakan yang tidak dapat turut serta. Semoga apa yang dirancang kali ini akan membuahkan hasil.

" Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat" 
(Surah Al-Hujurat: 10)

Masa berlalu begitu pantas. Tidak puas rasanya berbual, namun rengekan anak saya yang mahu pulang akhirnya dituruti. Tidak ketinggalan sedikit ole-ole menjadi bekalan untuk dibawa pulang sebagai kenangan. 


No comments:

Post a Comment