Wednesday 29 October 2014

Pengalaman bisnes tanpa modal

Teks: Azlina Ahmad
Foto: Google


Assalammmualaikum. Alhamdulillah.


Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Sembilan per sepuluh rezeki datangnya dari perniagaan."
(Hadis riwayat Bukhari)

Hari ini setelah selesai membuat satu entri, saya menerima pula tugasan dari guru online saya. Tajuk yang diberi membuatkan saya buntu sebentar. Puas mengingat kembali pengalaman bisnes tanpa modal jika ada. Maklumlah kebiasaanya modal adalah perkara asas penting yang diperlukan untuk memulakan perrniagaan. 

Lewat petang setelah mengambil anak-anak pulang dari sekolah, tiba-tiba saya teringat akan pengalaman bisnes tanpa modal saya yang juga pengalaman pertama saya berniaga sebenarnya. 

Ketika itu saya didalam darjah lima.  Saya menolong secara tidak langsung ibu saudara yang dipanggil "Mak Ngah" berniaga nasi lemak. Mak Ngah hanya membuat nasi lemak apabila terdapat pesanan dari rakan-rakan pejabat suaminya. Saya pula mengambil pesanan daripada rakan-rakan di sekolah. Sebaik sahaja loceng waktu rehat berbunyi, saya akan menunggu rakan-rakan yang membuat pesanan ditempat yang dijanjikan iaitu dibelakang bangunan perpustakaan behampiran kantin sekolah. 

Nasi lemak Mak Ngah sangat enak ditambah pula dengan sambal ikan bilisnya yang pada saya tiada tolok bandingnya hingga kini. Bayangkan di hari raya pun saya masih mencari sambal nasi lemak Mak Ngah untuk dimakan dengan nasi impit tika bertandang kerumahnya.



Daripada hasil jualan nasi lemak itu, saya mendapat upah sama ada sebungkus nasi lemak atau wang berjumlah satu ringgit. Pada masa itu, upah yang saya perolehi bagi saya sangat lumayan kerana duit belanja harian sekolah yang saya perolehi hanyalah sebanyak lima puluh sen sahaja. Kebiasaanya wang yang saya perolehi akan saya kumpul untuk membeli kek mini strawberry kegemaran saya.

Kenangan lama ini membuatkan saya tersenyum sendiri kerana rupa-rupanya sejak dari kecil secara tidak langsung saya telah pun menceburi perniagaan "ala-ala dropship". Kini salah satu impian saya untuk menjana pendapatan dari rumah adalah dengan cara dropship yang sangat mudah dan tidak memerlukan saya mengeluarkan modal bagi menjalankan perniagaan.




No comments:

Post a Comment