Friday 3 October 2014

Pengenalan

Teks: Azlina Ahmad



"Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyyah yang dahulu".
(Surah Al-Ahzab: 33)

Assalammualaikum. Salam perkenalan dihulurkan. Syukur alhamdulillah ke hadrat ALLAH s.w.t kerana diberi kesempatan untuk mencoretkan entri pertama saya hari ini. Nama saya Azlina binti Ahmad. Dilahirkan dan dibesarkan di kota metropolitan Kuala Lumpur. Pendidikan tertinggi memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Sumber Manusia) dan Diploma Kejuruteraan Awam dari sebuah universiti tempatan.

Tanggungjawab sebagai hambaNya, anak, isteri dan ibu seringkali menghimpit emosi. Kekangan waktu dan tugas di pejabat seringkali meruntun rasa. Keluar selepas subuh dalam kadaan gelap dan balik lewat petang juga dalam keadaan gelap. Ditambah dengan rengekan anak-anak yang semakin membesar dan kurang selesa berada dibawah jagaan pengasuh. 

Hati saya sering berbisik, "apakah aku sedang melakukan sesuatu yang betul"?. "Apa harus aku lakukan untuk memenuhi dan menyeimbangkan sebaik mungkin tanggungjawab ini"?. Doa dan petunjuk sentiasa didambakan dariNya. Saya yakin Dia yang mengaturkan segalanya yang terbaik buat hambaNya.


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka dia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintu mana yang dia suka (mengukut pilihannya)".
(Riwayat Ahmad)

Pengalaman bekerja selama 13 tahun tiada kaitan langsung dengan bidang pendidikan tinggi yang dimiliki. Percaya pada kebolehan diri mengadaptasi pada keadaan sekeliling, membolehkan saya menimba pengalaman dalam bidang pemasaran, undang-undang dan pelaburan. Saya percaya proses pembelajaran berlaku setiap hari. Ditambah pula dengan hobi saya yang suka membaca. Antara genre bacaan yang saya minati ialah isu semasa, keagamaan, motivasi, perniagaan dan pelaburan. Contohnya ilmu terbaru yang saya perolehi adalah asas pembinaan blog ini. Dari seorang yang tiada asas langsung mengenai blog dan perniagaan online saya bertekad untuk mengikuti ABDR dan mendapat tunjuk ajar dari guru online saya Wani MN.

Peningkatan kos sara hidup membuatkan saya mencari idea menjana pendapatan dari rumah. Mempunyai sedikit pengalaman berniaga dengan menjual pes mee bandung yang sangat enak dan terkenal di daerah Muar Johor dan kuah madu rojak buah. Permintaan yang tinggi biasanya pada musim perayaan. Yang mana ini menjadi salah satu menu ringkas dan mudah untuk majlis rumah terbuka mahupun pada ketika tetamu yang datang mengejut. Saya juga pernah menjual aksesori kanak-kanak yg diperolehi dari seorang rakan yang memborong dari negara China. 

Dunia "blogger" ini sangatlah baru bagi saya. "Gedung online mama Lina" yang dipilih menjadi tajuk bertujuan untuk mencari dan berkongsi ilmu dan produk  untuk manfaat semua pembaca. Semoga apa yang dikongsikan memberi manfaat kepada semua justeru membawa kejayaan duniawi dan ukhrawi. Amin.



No comments:

Post a Comment