Sunday 19 October 2014

Pengalaman pertama kali anak berbelanja

Teks: Azlina Ahmad


Assalammualaikum. Alhamdulillah.

Kelmarin, anak sulung saya yang saya panggil 'kakak' telah menyertai rombongan sekolah ke perpustakaan Raja Tun Uda dan Taman Tema Air Wet World Shah Alam. Rombongan terdiri daripada pelajar tahun enam sempena tamat menduduki peperiksaan UPSR dan UPSRA.

Inilah pertama kali saya melepaskan kakak keluar tanpa saya dan suami menemani. Dua pasang persalinan pakaian telah saya siapkan di dalam beg yang kakak akan bawa. Saya juga telah menempah apam 'polkadot' untuk kakak makan bersama rakan-rakannya. 

Pagi itu sebelum keluar, suami saya membekalkan kakak dengan duit belanja sebanyak RM 70.00. Saya berpesan supaya duit itu digunakan untuk makan dan apa sahaja yang kakak perlukan. Suami saya menghantar  anak-anak ke sekolah sebelum dia ke tempat kerja. Dalam hati saya berdoa agar segalanya berjalan dengan lancar dan selamat.

Lewat petang rombongan sekolah kakak tiba. Keriangan jelas terpancar di wajah kakak. Dalam perjalanan pulang kakak tidak putus-putus bercerita tentang aktiviti yang dilakukan sepanjang hari. 

Sampai dirumah kakak mengeluarkan cenderahati yang dibeli. Rasa sungguh terharu kerana kakak telah membelikan saya dan suami 'key chain' dan adik keropok ringan yang diketahui menjadi kegemaran adik.

Kakak bercerita bagaimana dia berbelanja dengan berhemah kerana khuatir duit belanja yang diberi tidak cukup. Apa yang sangat mencuit hati kami apabila kakak meminta diskaun semasa membeli cenderahati. Saya memberitahu kakak yang tidak semua kedai boleh memberi diskaun. Apa pun inilah pengalaman yang sangat berharga untuk kakak. Semoga kakak akan lebih yakin dalam menjalani kehidupan seharian.

No comments:

Post a Comment